Search This Blog
Lihatlah alam, renunglah ke dalam diri. Pasti bertemu yang dicari. Jelajahi dunia dengan membaca.
Featured
- Get link
- X
- Other Apps
BUKAN TEBU DI BIBIR
Sudah banyak kali saya ke sini bersama- sama keluarga. Adakalanya membawa rakan- rakan penggemar nira nipah asli.
Kebolehsampaiannya tinggi. Terletak di kiri jalan utama ke Tanjung Dawai, selepas Balai Polis Singkir dan sebelum Naim Semilang yang popular dengan aneka gulai khasnya gulai semilang.
Ladang Nira Napiah ini dibuka 2018 dan beroperasi mulai pukul 12.00 tengah hari kecuali hari Rabu dan Khamis.
Dari kawasan parkir pengunjung akan disambut oleh gerbang tinggi dan kaunter pesanan makanan dilatari hijau dedaun nipah.
Menu 'signature'nya tentulah nira nipah dan mi udang di samping makanan lain seperti nasi putih kari bawal, charkueteow, dan masakan barat.
Selepas menempah makanan anda akan melalui lorong pejalan kaki di tengah- tengah deretan pokok nipah. Anda boleh memilih untuk duduk di tempat berbumbung, pondok kayu atau trmpat duduk berbumbung rimbunan daun nipah.
Di tengah- tengah ladang ada dua buah kolam ikan dihiasi teratai. Anda boleh merasai pengalaman bersampan di kolam kedua yang agak besar.
Ada buaian diikat antara pohon kelapa dan pangkin untuk bersantai menikmati nyaman suasana di tepi kolam,
Sambil menunggu makanan siap, bolehlah bergambar. Ladang nipah berkeluasan 0.59 hektar ini berlatar belakang sawah padi dan puncak Jerai.
Menikmati makanan panas di bawah rimbunan nipah berlatar belakangkan pemandangan memukau ini pasti menjadi kenangan manis untuk dibawa pulang.
Saya paling suka menikmati dan memerhati setiap rumpun nipah dan tandan- tandan nipah yang merunduk ke bumi. Ia mengingatkan saya agar sentiasa merendah diri.
Seperti kelapa, nipah juga pokok serbaguna anugerah Tuhan kepada alam yang sangat berharga.
Pokok nipah atau Nypa fruticans tumbuh subur di Malaysia. Spesies ini satu-satunya spesies pokok palma yang tergolong dalam genus nypa.
Daunnya boleh dibuat atap dan ketupat. Lidinya dibuat penyapu. Isi nipah boleh dimakan.
Proses mengambil air nira nipah agak berbeza berbanding nira kelapa. Pokok nipah jenis tembaga paling sesuai dipilih kerana tangkai buahnya yang melentur ke bawah.
Proses mengambil nira.Cuka yang terhasil melalui air nira nipah yang telah diperam selama 40 hari pula dipercayai bukan sahaja dapat digunakan dalam masakan, malah digunakan sebagai ubat bagi penyakit kencing manis, darah tinggi, gout dan batu karang.
Selain airnya diminum, nira boleh dibuat tuak atau gula nipah. Dahan dan umbinya juga berguna. Pendek kata semua bahagian pokok ada kegunaan dan khasiat tersendiri.
Kalau nak datang ke sini, mesti awal sebab niranya sangat laris. Sehari dapat 20- 25 liter saja nira daripada lebih kurang 100 batang pokok nipah di situ. Saya difahamkan, pengusahanya turut mendapatkan bekalan nira nipah daripada kawasan sekitar kerana permintaan yang tinggi.
Bukan mudah sebenarnya proses mendapatkan nira yang berkualiti. Untuk pastikan nira tidak masam,segar dan manis, ia dipungut 4 kali sehari.
Buah nipah banyak antara bulan Julai hingga Disember. Letak isi nipah dalam ABC pun sedap atau boleh saja dimakan dengan ais kosong. Sekarang ni ada yang buat jeli nipah.
Pernah rasa tak air kelapa muda yang dicampur nira sebagai pengganti gula putih? Pergh..tak boleh move on jatuh cinta pastinya pada rasa dan aromanya yang unik penuh keaslian. Hehee!
Bagi peminat nira inilah tempatnya selain ladang Nira Ismail Che Kaq di Kuala Sedaka, Yan.
Kelainannya ialah air nira dihidang bersama laksa dan bihun goreng berkuah laksa. Saya kalau ke sini mesti minta bihun kuah laksa. Orang Kedah memang tau la nikmatnya.
Memang bagus dimajukan kawasan seperti ini untuk bantu tingkatkan pendapatan penduduk kampung selain menjadi tarikan pelancong.
Bukan tebu di bibir yang dimahukan tapi bukti yang diperlukan dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.
Dulu saya tak suka nira tapi sejak beralih umur ni selera berubah pula. Cuma tak bolehlah selalu. Nanti orang buka ladang nira ,saya buka 'kilang gula'.
Semanis- manis nira ada mudaratnya tapi manis senyummu menyembuh lukaku. Tak gitu๐
Nikmati bidikan lensa saya. Bukan jurufoto profesional ya. ๐
Teratai sedang berbungaAntara tandan
Boleh beza tak bunga jantan dan bunga betina?
Kedahku Indah. Jemputlah. Banyak tempat menarik di Kedah sebenarnya.
- Get link
- X
- Other Apps
Comments
Post a Comment
Send button