Life begins at the end of your comfort zone” - Neale Donald Walsch
Melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan khususnya yang bawa kita keluar daripada zon selesa memang sangat mencabar tapi mengujakan.
Ini kali kedua kami bertolak antara 2.30 hingga 3.00 pagi ke Cameron Highland. Ketika orang nyenyak tidur kami membelah kepekatan malam.
Namun hati tetap risau. Sesiapa yang pernah ke Cameron Highland pasti tahu keadaan jalannya yang bengkang- bengkok macam ular kena palu.
Melalui jalan yang lengang dan gelap gelita serta agak mencabar itu memang mendebarkan.
Nak pandang kiri kanan pun tak cukup kuat, bimbang ternampak 'sesuatu'. Rasa macam berani tapi cuak dan takut tetap tak boleh nak nafi.
Selagi tidak sampai dengan selamat, selagi itulah tak putus- putus doa dibaca.
Alhamdulillah, kami berempat sampai di masjid Kampung Raja ketika jemaah sedang solat subuh.
Ruang solat jemaah wanita masih di tempat khas yang disediakan di sisi kiri masjid seperti kunjungan saya dan Sarina tahun lepas.
Cuma nampak kurang terurus dengan bau kucing yang tidak begitu menyenangkan. Jika dapat dikawal kucing yang jadikan tempat itu sebagai tempat tidur dan bermain, tentu lebih baik.
Tandas perempuan bersih tetapi saya keluar meninggalkan masjid dengan perasaan kecewa dengan sikap pengunjung yang membuang sisa tisu dan lain- lain di atas lantai dan di dalam sinki sedangkan ada tong sampah besar di luar tandas.
Dari masjid, kami sambung perjalanan dan parkir di hadapan Old Town berhampiran hotel Nova kerana di situ tempat menunggu untuk naik ke Mossy Forest.
Kedai belum dibuka kecuali 7-E. Tak ada masalah kerana saya masak spageti goreng pukul 1.00 pagi sebelum bertolak. Pek siap- siap untuk 4 orang.
Tunggu land rover tiba untuk ke Mossy Forest, Gunung Brinchang selama dua jam. Bayaran per kepala RM25 pergi balik dan tiket masuk RM5.00. Kalau ambil private package RM250.
Lama kena tunggu kerana ada sedikit salah faham. Kami tempah 7.30 pagi tetapi semasa sampai di situ barulah kami dimaklumkan bahawa kaunter tiket di Mossy Forest hanya dibuka 8.30 pagi. Jadi land rover takkan naik awal.
Penantian berbaloi kerana dapat menikmati keindahan alam lumut yang unik walau dalam gerimis, angin kuat dan kabus tebal. Sukanya dapat berada pada ketinggian 2000 meter dari aras laut.
Jantung yang berdegup kencang, sakit badan yang turut menari mengikut tari rancak land rover di atas jalan yang sempit dan berlubang- lubang hilang selepas menikmati keindahan alam serba hijau di situ.
Lumut- lumut beraneka jenis di lantai hutan bagai hamparan permaidani gebu. Banyak yang berjuntaian dan melekat pada semua struktur pokok. Rasa seolah- olah masuk dalam cerita misteri.
Tempat hentian
yang disediakan.
Di dalam land rover
Menara tinjau
Ketinggian 2000 meter dari aras
laut.
Berhenti di ladang teh Sungai Palas dalam perjalanan turun. Encik Shahrul, pemandu land rover cekap memandu di samping jadi cameraman. Macam- macam gaya disuruhnya.
Turun dari Mossy Forest, pukul 12.00, kami ke Flora Park tarikan terbaru yang baru dibuka 12 hari.
Harga tiket masuk boleh tahan jugalah. RM50 dewasa, RM25 kanak- kanak. Harga termasuk harga pengangkutan untuk sampai ke situ.
Perlu mendaki anak tangga batu untuk ke puncak tertinggi di Flora Park. Kata pemiliknya, tempat ini dibina dalam tempoh 2 tahun sebelum dibuka.
Jika nak dapat latar cantik untuk foto kenalah sanggup beratur tunggu giliran .
Puas berposing, kami turun dan makan tengah hari nasi kukus ayam berempah, udang celup tepung di restoren berhampiran sebelum daftar masuk Kea Farm Mini Chalet pukul 3.30 petang.
Pemandangan chalet mini dari belakang.
Beberapa kali juga terhantuk pada alang pintu yang rendah.
Tak boleh berdiri di dalam chalet ini. Tak larat gelak masuk keluar kena merangkak sebab ruangnya muat- muat tilam saiz Queen saja.
Baru check in. Lepak kepenatan.
Ruang dalam chalet.
Bagi yang inginkan kelainan, chalet mini ini mampu jadi sesuatu yang menyeronokkan.
Ini pengalaman pertama tidur dalam chalet kayu bentuk khemah ala Jepun yang muat untuk dua orang. Penat tak tidur sepanjang malam dan menapak serta mendaki seharian diredakan dengan tidur sekejap.
8.00 malam, perut dah berkeroncong. Steamboat menjadi pilihan di Restoran Sinar Hijjaz yang letaknya dalam kawasan itu juga.
Sangat memuaskan dengan pilihan makanan yang cukup banyak. Lepak santai sambil makan. Berbaloi dengan RM30 satu kepala.
Ruang taman sekitar tu menjadi pilihan untuk sembang sampai pukul 11.00 lebih. Pukul 12.00 malam tidur senyenyak- nyenyaknya; keletihan dan kekenyangan.
5.20 pagi terjaga . Selesai pengurusan diri dan solat, tunggu matahari terbit di depan bilik saja. Inilah waktu terindah bagi saya, melihat matahari terbit atau terbenam.
Di depan pintu chalet mini
Matahari pagi 13.11.2021
Cuaca tidak menyebelahi pengunjung. Matahari hanya kelihatan lebih kurang sejam.
Dalam gerimis pagi kami keluar cari sarapan. Jenuh mencari kedai makan sebab dibuka lewat. Akhirnya makan ubi rebus dan jagung rebus, strawberi celup coklat bersama cappocino dan latte.
Selepas sarapan, mula beli buah- buahan dan sayur- sayuran. Harga agak tinggi daripada biasa. Jadi pilih- pilihlah yang nak dibeli.
Selesai kemas barang, check out pukul 12.00. Sempat lagi beli dan makan aiskrim viral.
Dalam perjalanan singgah Triangkap Rose Valley. Usai menikmati landskap dipenuhi mawar itu, kami beli bunga dan pokok hiasan.
Di kedai bunga di pintu masuk ke Rose Valley
Kami berempat peminat bunga
Turun dari Cameron dalam pukul 2.45 petang , berhenti dua kali; di Sg.Perak dan Gunung Semanggol, makan dan di solat.
Sampai ke rumah hampir 10.00 malam. Percutian pendek yang punya cerita yang panjang.
Benar kata Vincent Van Gogh," Normality is a paved road: It’s comfortable to walk, but no flowers grow on it."
Perancangan dan persediaan penting dalam setiap tindakan lebih- lebih lagi untuk lakukan sesuatu yang baru.
Pada masa yang sama kita harus sentiasa ingat, perancangan Allah itu yang terbaik. Setelah merancang, kita serahkan kepada-Nya dan doa itu senjata terbaik. Alhamdulillah.
Terima kasih teman untuk pengalaman dan persahabatan ini.
Pegang ja, tak beli😊
Kesimpulannya, jika tak cuba, kita tak rasa. Jika tak lalui, bagaimana nak mengetahui?
Comments
Post a Comment
Send button