"If I accept the sunshine and warmth, then I must also accept the thunder and lightning." ~ Khalil Gibran
Dalam hidup, pasti ada peristiwa baik atau buruk, duka atau suka . Buruk pada kita mungkin baik bagi Allah. Hanya DIA yang lebih mengetahui dan tidak akan berlaku sesuatu tanpa izin dan kehendak-Nya. " Kun fa ya kun"
Misalnya belum selesai isu Covid 19 dan virus omicron, kita diuji pula dengan bencana banjir. Tiap- tiap hari sejak 18 Disember 2021 media sosial dan media arus perdana sarat berita dan gambar yang menyentuh hati.
Beberapa hari sebelum itu, kita dikejutkan dengan kematian 9 ahli keluarga dalam kemalangan yang amat memilukan.
Belum reda kepiluan itu, banjir di Selangor bermula di Taman Sri Muda, Shah Alam. Kemudian bersambung di kawasan lain dan kini di negeri Pahang.
Sedih betul tengok keadaan dan nasib mangsa banjir yang kehilangan harta benda serta ahli keluarga. Mengalir air mata melihat orang tua, ibu- ibu bersama anak kecil terpaksa menyelamatkan diri berjam- jam di atas bumbung.
Tak dapat dibayangkan perasaan mereka yang terperangkap kelaparan, ketakutan sambil menanti bantuan yang tak pasti dalam kegelapan malam dan kedinginan air yang melimpah.
Allahuakbar. Gambar, video yang dimuat naik oleh pelbagai pihak sudah cukup menggambarkan segala keperitan.
Dikatakan ini banjir terburuk di Selangor selepas banjir 1971. Tentu penduduk panik, tidak bersedia. Begitu juga pihak berkuasa. Oleh itu banyak masalah dan kelemahan dapat dilihat.
Tentu tak sama dengan negeri- negeri yang telah biasa mengalami banjir. Namun,ini tidak harus dijadikan alasan untuk menafikan hak mangsa diselamatkan seberapa segera.
Banyak yang perlu dibaiki dari segi gerak kerja menangani bencana di negara kita. Belajar daripada pengalaman dan kesilapan itu yang terbaik.
Alhamdulillah ada individu- individu, kumpulan dan NGO yang turut bertungkus lumus. Nampak jelas masyarakat Malaysia bersatu dalam membantu mangsa yang ditimpa musibah.
Saya juga bersyukur sangat kerana sebenarnya pada 15 hingga 20 Disember saya berada di Kuala Lumpur dan Selangor dalam trip kembara 6 hari 5 malam.
Pada petang 16 Disember,usai solat di Masjid Jamek Kuala Lumpur kami sempat berjalan- jalan sekitar sungai. Cadangnya nak berada di situ hingga malam untuk lihat suasana River of Life. Tapi apabila hujan makin lebat kami memutuskan untuk pulang dengan menaiki LRT ke KLCC.
Bercampur baur rasa sedih pilu hati ini apabila terlihat gambar masjid Jamek di Fb yang dilimpahi air. Syukur kami tinggalkan Kuala Lumpur pada 17 Disember.
Foto Masjid Jamek dan Sungai Kelang daripada FB pada 18 Disember 2021
Lihat perbezaan paras air sungai. Ini gambar yang saya ambil pada 16 Disember
Di kawasan ini juga air naik.
Sebelum tu kami ke Dataran Merdeka. Duduk di kerusi yang disediakan dan memerhati bangunan Sultan Abdul Samad yang indah itu. Pasti detik ini dan peristiwa banjir ini akan ingatkan saya tiap kali hujan tiba atau banjir melanda.
Dataran Merdeka- foto FB
Sebelum banjir
Dari Kuala Lumpur kami turun ke Kuala Selangor , Sekinchan, Tanjung Karang, Sungai Besar dan Teluk Intan sebelum pulang.
Sepanjang 6 hari tak nampak matahari kecuali 20 Disember. Hujan menemani kami dalam banyak keadaan. Hati libang libu sebenarnya setelah dapat berita banjir yang melanda.
Bimbang juga apabila tengok di beberapa kawasan yang kami lalui ,air penuhi halaman rumah. Sampai di satu- satu tempat, ringan saja mulut ini bertanya," tempat ni banjir tak?"
Melihat air yang bergenang pun sudah rasa risau, bayangkan banjir yang menenggelamkan rumah- rumah di Sri Muda, di Mentakap dan di Temerloh.
Berat mata memandang, berat lagi bahu penduduk yang mengalami musibah ini.
Moga Allah gantikan segala kehilangan dengan yang lebih baik.
Syukur sangat Allah lindungi kami dan kami selamat pergi dan balik. Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan serta kasih sayang- Nya.
Kita yang tidak terlibat, bantulah apa- apa yang terdaya di samping bersedia mental dan fizikal untuk hadapi sebarang kemungkinan. Bukan itu saja, iman dan amal juga perlu disiapkan.
Segalanya atas kehendak-Nya jua. Sebagai hamba, kita hanya mampu berusaha tapi Dia lah yang menentukan. Kita merancang Allah jua merancang dan perancangan Allah itulah yang terbaik.
Baik atau buruk yang berlaku, kita berlapang dadalah dan bersangka baik dengan takdir Allah. Moga ujian dan dugaan ini mendekatkan lagi kita kepada-Nya.
Allah SWT berfirman: “Tidak ada suatu musibah menimpa (seseorang), kecuali dengan izin Allah dan sesiapa beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (At-Taghabun: 11)
"Don't get lost in your pain, know that one day your pain will become your cure." ~ Rumi
Selepas hujan pasti ada pelangi. Jika pelangi tidak hadir, mentari pasti muncul di langit.
Gambut, Sg.Besar
Pagi 20 Disember 2021
Comments
Post a Comment
Send button